Manchester Football Club (edisi kemas kini)

Ada beberapa cara membina sebuah pasukan. Anda boleh memilih cara Manchester United, anda juga boleh memilih cara Manchester City. Semuanya terserah di tangan anda.

Manchester City, semenjak diambil alih oleh kumpulan Abu Dhabi, tiba-tiba mencipta nama di persada bola sepak Britain. Bukan mencipta nama dengan memenangi gelaran English Premier League, sebaliknya mencipta nama dengan pembelian-pembelian besar, dengan perbelanjaan-perbelanjaan besar, demi membawa masuk nama-nama besar. Maka tibalah nama-nama seperti Robinho sang bintang Brazil, Carlos Tevez sang wira Argentina, Adebayor sang hero Arsenal, malah ramai lagi nama-nama besar ke pasukan bersimbolkan burung helang ini. Sekelip mata, pasukan yang pernah 2 kali turun divisyen dalam tempoh 3 tahun pada tahun 1990-an ini, menjadi pasukan yang dibarisi bintang-bintang bola sepak terkenal. Mungkinkah pasukan yang hanya sekali memenangi gelaran kejuaraan ini –itulah Piala Liga pada tahun 1976- mengungguli persada bola sepak Inggeris, persis yang dilakukan oleh kelab bola sepak Chelsea?

 
Berbeza pula kisahnya dengan pasukan “Manchester” yang satu lagi, iaitu Manchester United. Pasukan ini tidak menjadi sebesar ini sekelip mata. Tidak seperti Manchester City yang membelanjakan berjuta-juta pound untuk “membesarkan” pasukan mereka, Manchester United memilih cara tadarruj (bertahap), persis bertahapnya lumrah dakwah dalam kehidupan. Biarpun sampai di Old Trafford pada tahun 1986, hanya pada tahun 1993, barulah Sir Alex Ferguson, pengurus MU, mengecap kejayaan bergelar Juara Liga Perdana English. Dan berbanding pasukan Chelsea mahupun Manchester City, Ferguson menjulang nama the Red Devils, bukan dengan cara memenuhkan barisan kesebelasan pasukannya dengan nama-nama besar, sebaliknya memberikan peluang dan ruang buat anak-anak muda untuk mempersembahkan bakat dan potensi mereka kepada seluruh dunia.
   
Pengulas sukan England yang terkenal, Alan Hansen mengatakan; “you can’t win anything with kids” (“anda tidak akan bisa memenangi apa-apa (kejuaraan) dengan anak muda”) sebagai mengulas kehadiran anak-anak muda yang digelar “Fergie’s Fledglings” ke pentas bola sepak Britain, bahkan Eropah. Sulit untuk dipercayai, pasukan yang tidak menampilkan nama-nama besar, sebaliknya bersandarkan budak-budak hingusan seperti Paul Scholes, Nicky Butt, David Beckham, adik-beradik Neville dan sebagainya, bisa membawa pulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris ke Old Trafford. Di sinilah, orang-orang seperti Alan Hansen tersilap. Dan di sinilah, Alex Ferguson merealisasikan apa yang pernah distrategikan oleh ahli sihir di raja di dalam hadith “ghulam” suatu masa dahulu, iaitu pentingnya membina angkatan pelapis, dan pentingnya bersandar harapkan kepada kekuatan dan ke”logaman”an para pemuda.
Dan kejayaan itu tidak akan datang sekelip mata. Hanya pada tahun 1999, barisan pemain muda Alex Ferguson ini mencipta sejarahnya tersendiri; membawa pulang 3 kejuaraan besar sekaligus ke Old Trafford. Suatu yang dahulunya kelihatan mustahil, ternyata direalisasikan oleh tenaga kerja anak-anak muda ini. Langkah tadarruj (bertahap) yang diambil Ferguson, ternyata mula menuaikan hasil. Saban tahun, semakin banyak anak muda yang ia tampilkan, untuk kemudiannya mengungguli arena bola sepak dunia. Dan pengenalan anak-anak muda ini pun, ia lakukan dengan penuh terancang. Bermula dengan Piala Liga, sebelum diberikan ruang dalam saingan utama, itu pun sebagai “pemain gentian” pada mulanya. Namun, sering menatijahkan hasil yang menggiurkan.
Di mihwar muassasi, memang dakwah harus menjadi besar. Akan tetapi, kitalah yang kemudiannya harus memilih bagaimana ia akan menjadi besar. Adakah dengan kaedah ala Manchester City, iaitu “menyumbatkan” calendar dengan program-program gergasi, atau secara bertahap membina angkatan muda yang kelak akan “menggergasikan” dan “menggemparkan” masyarakat dengan aktiviti-aktiviti dakwahnya. Adakah dengan menumpu pada program-program umum yang gempak, atau menumpu pada takwin (pembentukan) yang tersusun, terancang dan tertata dengan baik (baca: amaliyyatut tajnid). Yang satu kelihatan gah pada zahirnya, yang lagi satu menjamin gah pada hasilnya.  Pilihan di tangan anda: which Manchester shall you support?

(copy/paste from : http://faridul.wordpress.com/

0 comments: