Rancangan realiti tv di hati remaja


Siapa yang tidak kenal dengan Zahid, Mawi mahupun Faizal Tahir? Kelibat anak-anak muda tersebut tiba-tiba menjadi buah mulut rakyat Malaysia setelah berjaya memenangi rancangan hiburan berbentuk TV realiti. Rancangan Akademi Fantasia, Malaysian Idols dan sebagainya menimbulkan kegilaan warga muda terutamanya untuk mengejar impian menjadi jutawan dalam sekelip mata.
Apa yang menimbulkan kegilaan segelintir individu hasil daripada rancangan sedemikian? Kajian menunjukkan kepuasan untuk berhibur dan menyelami perasaan keseronokan membuatkan mereka leka untuk mengikuti perkembangan peserta rancangan TV realiti walaupun mengetahui ada kalanya apa yang dipertontonkan sesetengahnya lakonan semata-mata. Kebijaksanaan penganjur program memanipulasi emosi penonton berjaya menarik kesetiaan penonton kepada stesen televisyen tertentu.
Natijahnya, apabila timbul rasa ketagih kepada program sedemikian, maka timbullah masalah seperti pengabaian terhadap ibadah, percampuran ketika konsert mingguan, sanggup bersengkang mata dan mengabaikan tugas harian lantas menurunkan tahap produktiviti kerja. Unsur khayalan yang terlampau akan menyebabkan penonton sanggup berhabis wang untuk turut sama mengundi artis kesayangan. Sebanyak RM 7.5 juta dikaut oleh rancangan AF musim kedua melalui 15 juta SMS yang dihantar sejak rancangan itu disiarkan pada 12 Jun 2004 (Utusan Malaysia 16 Ogos 2004). Itulah penangan AFUNDI yang dicaj 50 sen satu SMS. Ini tidak termasuk kegilaan untuk memenuhi kotak peti suara telefon bimbit dengan nada dering yang pelbagai.
Begitulah sedikit sebanyak impak rancangan realiti televisyen terhadap minda dan sikap remaja. Bayangkan budaya ini terus meresapi minda anak-anak muda kita andainya tiada program alternatif disediakan. Berapa banyak wang yang akan terbuang begitu sahaja dan bagaimana masa ideal remaja dipenuhi hanya demi keseronokan yang tidak bersempadan.
Rancangan alternatif
Orientasi rancangan bercorak TV realiti harus ditelusuri kembali agar penonton tidak terus dibuai fantasi yang tidak berkesudahan. Usaha penerbitan rancangan berunsur dakwah di televisyen harus diperhebat bagi menyaingi rancangan sebegitu. Malah bukan tiada program TV realiti alternatif yang cuba menyaingi program hiburan selama ini disiarkan.
Rancangan seperti Akademi Nasyid siaran TV9 pernah mencetuskan fenomena baru bagi peminat seni . Ternyata ia memberi alternatif pencinta lagu dan nasyid untuk bersama menghayati erti kesenian Islam. Ia dapat menarik minat sebahagian remaja untuk menelusuri gaya hidup Islam yang tidak mengharamkan hiburan asalkan mengikut syarak dan tidak membawa kepada kelalaian serta kesesatan. Komen-komen juri yang ada kalanya menerapkan unsur dakwah menunjukkan tersedianya ruang dakwah melalui media. Hal ini membuktikan dakwah boleh diterapkan melalui kesenian di media.
Selain itu, TV9 juga pernah menyiarkan rancangan Cari Menantu dalam usaha mencari pasangan ideal yang hebat penampilannya serta kukuh ilmu agama di dada. Rancangan ini juga berjaya menarik minat golongan belia berdasarkan sambutan diberi ketika sesi uji bakat dijalankan. Selain daripada menerima ganjaran dan tajaan perkahwinan, ia memberi ruang dan peluang kepada pasangan untuk mendalami ilmu-ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Ia penting sebagai persediaan buat melayari bahtera perkahwinan. Inilah bentuk program TV realiti ilmiah yang sesuai sebagai alternatif kepada program hiburan semata-mata. Program sebegini dilihat berbentuk dakwah melalui media yang juga mendedahkan nilai-nilai dan amalan budaya ketimuran buat golongan bukan Islam. Tidak mustahil ada yang tertarik kepada Islam setelah ditonjolkan keindahan adat dan ibadat golongan Melayu dan penganut Islam.
Bagi peminat seni taranum, program Akademi Al-Quran siaran TV9 adalah pilihan terbaik. Program yang telah melahirkan qari dan qariah muda berbakat memaparkan realiti pembelajaran seni taranum dan qiraat al-Quran yang pelbagai. Keindahan seni dalam bacaan al-Quran dapat dipelajari dan dihayati di samping penonton dihidangkan dengan aktiviti pembelajaran para peserta. Program dakwah sebegini walaupun masih baru sebenarnya mempunyai potensi besar dalam mempengaruhi dan menarik minat golongan muda.
Ringkasnya, kita tidak mahu remaja terus hanyut dengan dunia hiburan yang tidak berkesudahan. Usaha untuk menyediakan program alternatif khusus yang menjurus kepada usaha dakwah harus diperhebat. Semua pihat sama ada pihak penyedia rancangan TV mahupun golongan pendakwah seharusnya bekerjasama bagi memandu golongan remaja agar mereka muncul sebagai kumpulan yang hebat memacu kegemilangan ummah. 

Sumber: http://krjjohor.blogspot.com/

0 comments: